Thursday, September 03, 2009

CIA Dalangi Kegiatan Anwar

Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat di dakwa mendalangi aktiviti politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.Ahli Parlimen Pokok Sena, Wan Hanafiah Wan Mat Saman, berkata Keadilan dan barisan alternatif turut didalangi oleh CIA kerana menyokong perjuangan Anwar.

Serentak itu, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi perlindungan khusus kepada bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang mendedahkan 20 akaun induk Anwar bernilai RM3 bilion.

"Pendedahan Murad menunjukkan Anwar memberikan RM38 juta kepada bekas pekerja Majlis Keselamatan Negara AS, Douglas H Paal untuk Pusat Penyelidikan Dasar Asia Pasifik (APPC).

"Nyawa Murad dalam bahaya, jika CIA di belakang Anwar banyak benda boleh berlaku. AS mempunyai 'mission imposible' serta boleh gagalkan penyiasatan kes ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2000 di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hanafiah juga meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan memeriksa dengan menyeluruh pendedahan Murad dalam akuan berkanunnya, supaya rakyat memahami perkara sebenar.Katanya, sokongan AS semakin jelas apabila Naib Presidennya, Al-Gore dan Setiausaha Negara, Madeline Albright memberi sokongan terbuka kepada penyokong reformasi ketika persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Sekarang kita tahu mengapa Cable News Network (CNN) memburuk-burukkan imej Perdana Menteri. Paal juga adalah CIA yang menyebabkan Al-Gore dan Albright menyokong reformasi tajaan Anwar," katanya.

Ketika meminta penjelasan Hanafiah, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Shafie Apdal turut mendedahkan perilaku Anwar yang pernah memaksa Kabinet Sabah supaya meluluskan lesen judi.

"Tidak wajar bagi seorang yang mengaku Islam sanggup memaksa Kabinet Sabah supaya meluluskan lesen judi. Kita juga ada saksi. Senator Datuk Pandikar Amin Mulia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) boleh menjadi saksi," katanya.

Wan Hanafiah turut meminta Jabatan Perdana Menteri mewujudkan petugas khas menyiasat setiap masjid supaya ia tidak digunakan oleh parti politik.Beliau berkata, Pas menggunakan masjid sebagai pentas politik kerana sudah terpengaruh dengan dakyah Yahudi.

"Rancangan Yahudi memang bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan masyarakat. Ini dibuat supaya orang Islam bergaduh dan tidak pergi lagi ke masjid."Kita tidak mahu masjid digunakan oleh Umno atau Pas, tetapi ia digunakan sebagai tempat beribadat.

Sumber : Berita Harian 3 November 1998

1 comment:

Anonymous said...

KDN mempunyai menteri yang lema lembuttttttttttttt.... apa tindakan yang pernah diambil????? sekadar senyum lebarrrrrrrrrrr