Monday, October 18, 2010

PRK Batu Sapi: PAS Dan DAP Boikot PKR

SANDAKAN: Belum pun pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan, pembangkang terlebih awal gagal mempamerkan kesepaduan apabila mesyuarat yang sepatutnya diadakan di sini semalam, bagi membincangkan sama ada untuk meletakkan calon atau sebaliknya terpaksa dibatalkan berikutan ketidakhadiran pemimpin DAP dan PAS.

Mesyuarat yang dijadualkan di Hotel Sanbay di sini, ditunda ke tarikh yang belum ditentukan, kerana Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu dan Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohamad Abdullah tidak hadir.

Mesyuarat itu dijadualkan jam 2 petang, tetapi dibatalkan selepas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Ahmad Thamrin Jaini; Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Christina Liew menunggu lebih sejam di hotel itu.

Ahmad Thamrin yang dilihat mundar-mandir di lobi, meninggalkan hotel tanpa mahu memberi kenyataan kepada dua wakil Berita Harian.

Difahamkan, mesyuarat itu dijadualkan dihadiri lima pemimpin tertinggi masing-masing dari PKR, DAP dan PAS bagi membincangkan sama ada pembangkang akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil berkenaan.

Kelmarin, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengumumkan parti itu akan meletak calon pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, PKR bertegas untuk meletakkan calon pada pilihan raya berkenaan dan DAP serta PAS dikatakan `terpaksa merelakan' hasrat berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu dalam kenyataannya di Kota Kinabalu semalam, mendesak pembangkang meletakkan calon PAS.

“PAS menuntut untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tetapi PKR gagal meletakkan calon,” katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments: