Pengasas  Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Tan Sri Omardin Mauju  mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya  sebagai pengkhianat negara berikutan penganjuran perhimpunan haram  BERSIH 2.0, semalam,untuk berdialog dengan beliau secara langsung di  televisyen, dalam waktu terdekat.Omardin mahu dialog itu menjadi  medan Anwar meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada kerajaan yang  menyebabkan BERSIH 2.0 berlangsung semalam walaupun selepas pihak  berkuasa melarang perhimpunan itu diadakan.
“Jika berani, beliau  sepatutnya bersedia untuk mengadakan majlis dialog itu. 
Saya bukan seorang ahli politik, bagaimanapun saya mahu tahu apa yang sebenarnya menyebabkan beliau berasa tidak puas hati dengan sistem pilihan raya negara, hingga menyebabkan BERSIH 2.0 diadakan? 
“Anwar sepatutnya lebih tahu bahawa rundingan boleh diadakan, apatah lagi beliau sebelum ini pernah memegang jawatan dalam kerajaan.
Dia bukannya pemimpin jalanan sehingga perlu meneruskan perhimpunan itu. Mengapa perlu menimbulkan huru-hara dan pernahkah dia terfikir apa yang akan berlaku sekiranya tercetus pergaduhan dengan bangsa lain disebabkan perhimpunan itu,” katanya semalam.
Omardin yang juga Ahli Dewan Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) turut berada di Bukit Bintang semalam menyertai Himpunan PATRIOT yang disifatkannya sebagai benteng pertahanan kerajaan bagi menghadapi pihak pembangkang yang berhasrat menimbulkan kekacauan. 

